Friday, January 30, 2009

Kemelut Ekonomi Dunia

Assalamu'alaiku.
Dunia hari ini berdepan dengan suatu gelombang kemelesatan atau kegawatan ekonomi yang agak besar. Walaupun kesannya tidak begitu besar di bahagian Asia tetapi ianya amat menekan dan menyusahkan dunia eropah keseluruhannya. Buktinya, kerajaan Ireland menjadi kerajaan dunia yang pertama terpaksa dibubarkan pemerintahan disebabkan oleh kegawatan ekonomi global ini.
Saban hari, akhbar ekonomi melaporkan satu demi satu syarikat eropah terpaksa gulung tikar. Sekiranya ianya syarikat kecil mungkin biasa kita dengar tetapi yang terlungkup itu ialah syarikat yang dikenali kehebatannya seluruh dunia. Hari ini mereka sudah tidak mampu untuk bertahan lagi. Mana-mana negara yang mempunyai hubungan dan kerjasama dengan syarikat-syarikat ini pasti diheret sama sehingga menyebabkan ramai pekerja terpaksa dibuang.
Pemerhati eknomi dalam dan luar negara pernah menyebut kegawatan yang sedang melanda dunia lebih teruk berbanding krisis ekonomi tahun 1998. Jika dulu, hanya negara-negara sengsara dan berhempas pulas untuk menyara kehidupan mereka selama krisis tersebut. Kini, negara eropah dan kuasa besar ekonomi dunia turut sama dilanda badai dan gelombang krisis ini.
Di Malaysia, kesannya turut dirasai. Hampir setiap hari, di dada akhbar dan kaca televisyen melaporkan kilang dan syarikat tertentu terpaksa memberhentikan pekerja mereka. Baru-baru ini dalam program alumni yang ana terlibat juga diberitahu oleh sahabat-sahabat bahawa mereka juga sedang menunggu masa untuk diberhentikan kerja. Walaupun perit untuk didengar tetapi itulah hakikat yang sedang melanda negara dan dunia keseluruhannya. Paling menggerunkan ialah pemberhentian pekerja tidak berlaku terhadap segelintir pekerja sahaja malahan melibatkan hampir ratusan ataupun ribuan pekerja sekaligus. Jika besar kilang atau syarikat tersebut maka besarlah pemberhentiannya.
Berita Harian bertarikh 27 Januari 2009 melaporkan CUEPACS melalui presidennya Omar Osman dengan rendah diri merayu kepada pihak kerajaan agar tidak meneruskan hasrat menamatkan perkhidmatan 50,000 kakitangan awam secara kontrak. Laporan ini menunjukkan betapa kerajaan sendiri sedang berdepan dengan keupayaan yang amat kecil untuk membantu rakyatnya sendiri. Sebelum itu, ada laporan menyebut hampir 50,000 pekerja Malaysia di Singapura akan diberhentikan. Bagaimana pula nasib graduan Universiti dan Kolej Awam dan Swasta yang saban tahun mengeluarkan ribuan penganggur? Yang sudah ada kerja diberhentikan inikan pula yang baru sahaja bergelar graduan.
Itu pun masih ada ura-ura pihak kerajaan bercadang untuk membina terminal lapangan terbang tambang murah (LCCT) KLIA-East di Labu, Negeri Sembilan. Selamatlah Khazanah Nasional Berhad sendiri menolak cadangan ini walaupun mereka merupakan pemegang syer terbesar dalam Malaysian Airport Holdings Bhd (MAHB) sebagai pengendali lapangan terbang di seluruh negara. Projek bernilai RM 1.6 bilion itu akan diserahkan kepada Sime Darby dan manfaatnya akan diperolehi oleh Syarikat Air Asia. Keputusan menolak cadangan ini seperti yang disampaikan oleh Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd sebagai mendahului kepentingan nasional. Pemerhati ekonomi melihat ada suatu unsur pembaziran terhadap perlaksanaan projek tersebut.
Pengurusan sesebuah negara mesti bersifat berjimat cermat dan berhati-hati dalam setiap perbelanjaannya agar negara mampu menghadapi kemelut ekonomi dunia ini sehingga ianya berakhir. Mungkin setahun dan mungkin juga bertahun-tahun. Justeru, pemimpin yang masih leka dan mementing diri sendiri mesti sedar dan mengambil tanggungjawab sewajarnya. Jika mereka berterusan dengan sikap buruk dan hodoh ini sudah pasti rakyat akan terpaksa menanggung kesan yang lebih besar dan negara akan berdepan dengan situasi yang lebih gawat. Mereka ini perlu disedarkan dengan segera. Semua projek-projek besar dan membazir perlu dikaji semula agar peruntukan yang telah ada itu boleh dimanfaatkan kepada rakyat.
Semalam Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pakej ransangan ekonomi kedua dan ianya telah dituntut oleh wakil rakyat dari Pakatan Rakyat ketika pembentangan belanjawan di parlimen dulu. Akhirnya Najib mengiakan keperluannya. Persoalannya adakah Najib akan berani dan telus dengan pakej kedua ini? Biar sekali lagi ianya dibentang di Parlimen untuk kesemua wakil rakyat yang sememangnya mewakili rakyat keseluruhannya berbahas mengenainya supaya hasilnya dapat memberi manfaat kepada rakyat.
Maka, disinilah perlunya kepada pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat. Pemimpin yang menjiwai kehidupan rakyat bawahan. Susah payah rakyat adalah kesusahan mereka juga. Rakyat bermandi peluh mencari sesuap nasi sedangkan pemimpin nasi disuapkan kepada mereka. Rakyat harus membuka mata dan minda dalam mengharungi situasi ini. Berubah kepada negara berkebajikan. Negara yang mendapat rahmat daripada Allah swt. Negara yang dipimpin oleh pemimpin yang menjaga agama Allah. Pemimpin yang menjaga agama Allah akan menjaga kebajikan rakyat dan mereka pula akan mendapat pertolongan dari Allah swt.
Baldatun Toiyibatun Warabbun Ghofur...
Salam ukhuwwah salam perjuangan...

No comments:

Post a Comment